First Impression vs Lasting Impression

Biasa kita dengar yang first impression adalah segalanya. Hari ni saya nak umumkan yang saya tak setuju dengan pernyataan ni. Haha. Siap nak umum bagai. Sebabnya bagi saya, lasting impression lebih melekat.

Saya pernah je jumpa orang yang first impression mereka nampak power, tapi bila lama-lama kenal, hampeh. Kemudian ada sesuatu kehampehan sejati mereka buat sehingga memberikan lasting impression yang buruk pada ramai orang.

Ada pula orang yang awal-awal jumpa tak ada la nampak hebat sangat. Tapi bila lama-lama kenal, terkantoi satu demi satu kehebatan peribadi mereka. Dan itu memberi lasting impression yang baik buat diri mereka.

Jadi, apa beza first impression dengan lasting impression?

First Impression

Biasanya adalah impression yang dibuat-buat untuk menampakkan yang dirinya mempunyai sesuatu yang gah. Boleh ditonjolkan secara fizikal seperti pemakaian yang cantik, perlakuan yang sopan, percakapan yang berkarisma, dan wajah yang penuh yakin.

Yang saya perasan, sebenarnya first impression ni tak dapat bertahan lama. Untuk interview mungkin boleh jugak la digunapakai. Tapi dalam kehidupan, maaf nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi.

Keghairahan mempamerkan first impression sebenarnya membuat kita cenderung untuk melakonkan sesuatu yang tidak datang dari diri kita sendiri. InsyaAllah kita tak dapat mengekalkannya dalam tempoh masa yang lama jika kita tidak bercadang untuk mengubah peribadi hakiki kita.

Peribadi hakiki kita, perangai sebenar kita itulah sebenarnya yang orang akan nampak juga satu hari nanti. Dan bila orang nampak, itulah yang mereka akan ingat dan ia akan menghasilkan lasting impression.

Lasting impression

Seperti yang saya cakap tadi, ianya adalah sesuatu yang betul-betul datang dari diri kita. Perangai sebenar kita. Dan impression itulah yang lebih melekat dalam ingatan orang sekeliling kita.

Kita semua ada rahsia yang kita tak beritahu orang. Tapi kalau orang tahu tentang rahsia itu, apakah yang mereka akan fikir tentang kita? Mungkin ini adalah analogi mudah untuk faham lasting impression.

Kalau kita nampak kedekut tapi suka berderma dalam diam, itulah yang orang akan ingat dalam tempoh yang lama.

“Dia nampak je kedekut nak derma dekat masjid, tapi sebenarnya dia lagi suka derma dekat rumah anak yatim.”

Kalau kita dari luar nampak baik, tapi ketika bersendirian membuat perkara yang tak elok, itulah yang orang akan ingat jikalau terkantoi.

“Kau tengok dia tu konon je rajin datang masjid selalu, tapi dekat rumah dia suka dera binatang doh.”

Jadi, jangan risau sangat kalau first impression kita tak bagus, kerana ia tak tahan lama. Manusia biasanya tak ingat sangat first impression dan kita boleh dengan mudahnya ubah sisi pandang mereka.

Tapi risaulah dengan lasting impression yang kita pamerkan. Kerana bila orang dah ada sesuatu persepsi pada kita, sangat susah untuk kita ubah.

Contoh, bila sekali mencuri, ia akan memberi lasting impression yang kita ni orangnya tak amanah. Jadi orang susah nak percaya untuk kita jaga barangan mereka. Walaupun first impression kita bagus, ianya akan dilupakan dengan lasting impression yang kita berikan.

Resolusi

Jadi, jom la cuba ubah tabiat-tabiat azali kita yang kita masih ada tu supaya lebih mudah menghasilkan lasting impression yang baik pada orang. Kalau malas, cubalah rajinkan. Kalau bongkak, cubalah tawadukkan. Kalau kelam kabut, cubalah tenangkan.

Yang penting, kita ubah diri kita dengan ikhlas. Lasting impression yang baik lahirnya dari sebuah keikhlasan. Kalau pun kita berlakon baik di luar, biarlah di dalam tu pun sebenarnya kita teringin betul nak jadi baik.

Akhir kata, moga kita semua dapat meninggalkan lasting impression yang baik pada orang sekeliling kita.

Itu sahaja. Sila berubah.

Advertisements

RM250

RM250

Bulan lepas adalah bulan yang agak perit buat saya. Waktu baru masuk kerja tu, memang tengah pokai teramat sangat. Tengok dompet, menangis. Tengok akaun bank, meraung. Tengok diri sendiri, termenung. Ok, drama betul.

Ada satu masa tu, duit saya tinggal RM250 dalam bank. Dalam dompet pula RM40. Waktu tu memang berkira-kira tahap dewa betul pasal makan minum transport apa semua. Sampaikan satu tahap, berhari-hari tidur di pejabat (boss bagi), kemudian tiap-tiap hari makan roti sambal bun bilis Gardenia yang nikmatnya tak terkata.

Dan ya, tertumpah juga air mata pahlawan ni apabila terkenang duit yang kemungkinan boleh habis bila-bila masa sahaja. Rasa resah gelisah, mampu ke nak teruskan hidup? Ditambah dengan hutang yang bertingkek-tingkek pula hasil pembelajaran yang tak dapat dihabiskan. Adakah masih ada harapan buat diri ini?

Setelah agak lama tertekan, kemudian entah bagaimana, terkenang pada orang yang hidupnya lagi susah. Orang yang setiap hari fikir dia boleh makan ke tak hari ni. Fikir macam mana dia nak cari duit untuk makan. Sekurang-kurangnya saya masih boleh fikir nak makan ke tak, nak makan apa hari ni, dengan berkira-kira bajet untuk hidup.

Pelik, bila betul-betul rasa kesusahan, baru beban hutang tu terasa ringan. Dan rasa ringan tu datang bila saya belajar untuk lebih bersyukur, merasa lebih cukup dan bertenang kerana Allah masih membenarkan saya meneruskan kehidupan. Kalau saya ada masa untuk risau, pasti saya ada juga masa untuk usahakan jalan keluar.

RM250 yang saya ada tu, kalau diberikan pada orang yang betul-betul susah, pasti dia akan sangat menghargai wang itu kerana betapa besar nilainya di mata dia. Lain dengan kita yang tak betul-betul merasa kesusahan dan kemiskinan secara tegar. RM250 tu terasa sedikit sekali. Namun, kesusahan hidup mengajar saya untuk menilai semula wang yang kecil itu menjadi besar. Padahal tak ada la susah mana. Duit tak ada je. Saya masih boleh berjalan macam biasa. Bernafas, melihat, mendengar, membaca, berlari dan bermacam lagi perkara boleh dibuat seperti biasa. Saya patut bersyukur untuk itu.

Betul la orang kata, kita kena lihat orang yang lebih susah dari kita untuk kita belajar erti syukur, erti cukup. Kalau kita tengok orang kaya, kita akan jadi susah hati, bilakah kita boleh jadi seperti mereka? Sedangkan apa yang kita lihat itu sebenarnya tak kekal lama.

Bahkan, kemungkinan mereka hanya diluar nampak bahagia, tetapi dalamnya sengsara. Kerana tiap-tiap hari berfikir bagaimana untuk mengumpul harta dan kekayaan, suatu pengumpulan yang tiada penghabisan. Bila harta banyak, jika masih tidak merasa cukup, maka kita akan tetap berdukacita. Lain pula kalau harta yang sikit, tapi kita rasa cukup dengan apa yang ada, itu sudah memadai untuk mengundang bahagia.

Hadirkan rasa cukup. Allah akan berikan kita secukupnya.

 

Blog Baru. Orang Sama. Nafas Baru.

InsyaAllah saya akan menulis di sini, di blog yang baru dengan membawa kepada anda isi-isi yang lebih segar dan terbaik dari ladang entah dari mana.

Pabila kita sudah tak mampu menulis di blog yang lama, menulislah di blog yang baru! Blog lama akan saya kekalkan atas dasar nostalgia dan rujukan peribadi. Ayuh mulakan kehidupan yang baru.

Dengan nama Allah, berangkatlah!